KUCHING: Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19 telah ditubuhkan sebagai langkah kerajaan Sarawak menyediakan rakyat negeri ini melangkah ke fasa endemik.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, jawatankuasa itu diwujudkan melalui Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dengan kerjasama media lain dalam usaha menyediakan pelan kerja kesedaran awam.
“Jawatankuasa ini akan membentuk kertas kerja yang bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bagi persiapan melangkah ke fasa endemik,” katanya.
Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19 pada Isnin, beliau menambah, peranan jawatankuasa itu turut dibantu Jabatan Penerangan, TV Sarawak, RTM dan BERNAMA.
“Kita telah melantik UKAS untuk membantu jawatankuasa ini dan juga akan bekerjasama dengan media lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Douglas menjelaskan, Sarawak telah bersedia untuk memberi suntikkan dos tunggal kepada penduduk di kawasan pedalaman.
Ujarnya, bekalan vaksin tersebut akan tiba di Sarawak pada esok dan akan diberikan kepada penerima dengan secepat mungkin.
Sementara itu, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan UKAS Abdullah Saidol menjelaskan mesyuarat itu lebih kepada perbincangan mengenai peranan Jawatankuasa Kerja Kesedaran Awam COVID-19.
“Antara objektif utama mesyuarat ini adalah untuk merangka pelan kerja program kesedaran awam dengan banyak yang perlu kita kongsikan kepada masyarakat tentang apakah fasa seterusnya dan juga perkara berkaitan yang lain.
“Dalam masa yang sama kita menyokong pelan pemulihan ekonomi negara dan juga negeri.
“Sebenarnya kerajaan ingin melihat semua masyarakat kembali menjalankan kehidupan seperti biasa terutamanya para perniaga,” ujarnya.
Abdullah juga menjelaskan program yang akan dilaksanakan jawatankuasa itu memberi fokus kepada usaha memberi kesedaran dan persiapan kepada masyarakat untuk melangkah ke fasa baharu.
“Inilah yang akan kita lakukan untuk beberapa bulan akan datang.
“Pelaksanaan program ini akan dijayakan bersama rakan-rakan media dari pelbagai agensi yang lain,” jelasnya.
Hadir sama Pengarah UKAS Samat Junai. -EDISI UKAS
Sumber dari : UKAS